Geek Fam juara Challengers Series Musim Kedua, Farang kurang bernasib baik

Beza hanya tiga mata..

Geek Fam juara Challengers Series Musim Kedua, Farang kurang bernasib baik

Artikel ini ditulis oleh Firas Aliyan Idris

Jaguh Free Fire tempatan, Geek Fam dinobatkan sebagai juara Grand Final Siri Cabaran Free Fire musim kedua selepas menamatkan ‘badi’ musim lalu.

Pasukan itu meraih dua Booyah pada aksi sebentar tadi. Peta Purgatory menjadi saksi aksi itu selepas menewaskan Todak di zon permainan terakhir dan mencatatkan tujuh mata singkir.

Dominasi peta Purgatory menampilkan koordinasi pasukan itu nampak teguh, seterusnya Geek Fam memanfaatkan kelebihan itu apabila bijak membaca zon permainan di bahagian Marbleworks. 

Hasilnya, Booyah yang kedua diraih pasukan itu dengan mata keseluruhan tertinggi pada hari ini iaitu 30 mata keseluruhan dan 18 mata singkir.

“Kami berjaya mengembalikan semangat kami pada pada pusingan ke-15 Purgatory dan sangat gembira dapat muncul juara,” komen Geek Orenn ketika dihubungi MyGameOn.

Dia juga mengakui percaturan awal pasukan tidak menjadi dan terpaksa membuat pertukaran pemain di posisi pertahanan pasukan dengan memasukkan Fenixx pada beberapa pusingan terakhir.

“Kami berharap dapat sekali lagi mengulangi pencapaian di liga MCP dan berharap dapat dominasi Grand Final,” ujar Orenn selepas pasukannya meraih slot automatik ke MCP S4.

Di samping itu, Farang hadir dengan kelainan pada hari kedua dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi. Hal ini kerana pasukan itu berjaya meraih tiga Booyah dalam satu hari.

Namun, pasukan itu terpaksa berputih mata dibezakan tiga mata sahaja daripada kejuaraan yang dirangkul Geek Fam dalam pertarungan sebentar tadi.

Aksi yang cemerlang itu bermula daripada Booyah pertama pada pusingan kesembilan Bermuda, ke-12 Alpine dan ke-13 Bermuda.

Grand Final Siri Cabaran Free Fire musim kedua sudah melabuhkan tirai. Pasukan Geek Fam membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM44,000 (AS$10,000), diikuti Farang ditempat kedua dan Pando EWG tempat ketiga.